Elak Jadi Mangsa "Scam": Kuliah Ilmu Interaktif Perkasa Warga Emas
Bandar Baru Bangi | 23 Januari 2026
Pertubuhan SALWA Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama NGO HELWA Bandar Baru Bangi dan Surau Ar-Raudhah Seksyen 3 Bangi telah berjaya menganjurkan Kuliah Ilmu Interaktif: Klik Dengan Berhati-Hati – Warga Emas Sasaran Scammer! pada Jumaat, 23 Januari 2026 bertempat di Surau Ar-Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi ini telah menghimpunkan seramai hampir 80 orang peserta yang terdiri daripada warga emas dan masyarakat umum.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada warga emas untuk mempelajari pelbagai ilmu baharu yang relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital. Aspek penguasaan kemahiran praktikal seperti teknologi digital asas juga diketengahkan selari dengan usaha menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas.
Program dimulakan dengan aktiviti senaman ringkas sebagai pemanas badan dan persediaan fizikal peserta sebelum diteruskan dengan sesi ceramah dan perkongsian ilmu. Sesi utama program menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir, Pakar Keselamatan Siber dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia, yang membawakan ceramah bertajuk Klik Dengan Berhati-Hati: Warga Emas Sasaran Scammer!.
Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau menjelaskan bahawa urusan kehidupan masa kini yang banyak bergantung kepada peranti digital dan capaian internet telah membuka ruang luas kepada jenayah siber, khususnya penipuan atau scam. Keterbukaan dunia maya, aliran maklumat tanpa sempadan, hubungan pengguna yang saling terhubung serta risiko pendedahan data peribadi dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian serius.
Beliau turut menghuraikan beberapa bentuk ancaman siber yang sering berlaku seperti cyberstalking, spyware dan social engineering, selain mendedahkan realiti kes scam di Malaysia yang berlaku setiap hari dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Menurut beliau, warga emas merupakan antara sasaran utama scammer kerana faktor kepercayaan, emosi dan ketakutan, dengan kesan kerugian yang bukan sahaja melibatkan kewangan, malah memberi impak emosi dan menjejaskan kepercayaan diri mangsa.
Sehubungan itu, para peserta diberikan panduan langkah-langkah pencegahan dan tindakan awal sekiranya berdepan situasi mencurigakan, antaranya tidak panik, menamatkan panggilan, membuat pengesahan melalui nombor rasmi agensi berkaitan serta tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi. Penggunaan aplikasi seperti “Whoscall” turut dicadangkan bagi membantu mengenal pasti nombor telefon yang berpotensi mencurigakan, selain beberapa solusi lain untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi impak positif kepada para peserta apabila mereka berpeluang mempelajari ilmu baharu yang relevan dengan keperluan semasa, meningkatkan kefahaman serta menguasai kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian. Penganjuran program ini juga berjaya menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memperkasa warga emas agar lebih celik digital, berdaya tahan dan tidak mudah terdedah kepada ancaman scam dalam era digital yang semakin mencabar.